1. FBS broker  >
  2. Blog FBS >
  3. The Hateful Eight: Temui Penyangak Kewangan Yang Paling Terkenal
2023-05-29 • Dikemaskini

The Hateful Eight: Temui Penyangak Kewangan Yang Paling Terkenal

cover.png

Inilah dunia kewangan. Tempat di mana wang dibuat. Wang yang besar. Ini adalah dunia permainan yang besar, dunia yang telah memperkenalkan kita kepada beberapa orang "mastermind". Malangnya, tidak semua pakar kewangan menggunakan bakat mereka dalam menjana wang dengan niat yang baik.

Orang-orang seperti Bernie Madoff, Joseph Nacchio, Michael de Guzman, Elizabeth Holmes, atau Wolf of Wall Street sendiri – Jordan Belfort menggunakan pengetahuan, kemahiran, kenalan mereka atau apa sahaja yang mereka ada untuk mengaut sejumlah besar wang dengan – dalam bahasa yang tidak beralas – menipu orang ramai.

"The world is your oyster," kata orang Inggeris. Tetapi bagi penjahat dalam kewangan, dunia adalah mangsa untuk mereka akal-akalkan.

1170-pic-03.png

Dunia menjadi medan akal-akalan

Penipuan kewangan, atau "money scam", ialah tindakan jahat yang membolehkan penipu tersebut memperoleh akses ke atas wang mangsanya. Perlu ditekankan bahawa mangsa biasanya memberikan wang mereka secara sukarela. Mungkin anda tertanya-tanya, “Ah sudah, kenapa pula begitu?” Kerana itulah kehandalan seorang penipu: mereka licik memperdaya dan meyakinkan orang ramai.

Penipu merancang helah yang kelihatan munasabah, dan mereka menjanjikan keuntungan yang besar dan cepat. Mereka memberikan tawaran yang sukar untuk ditolak, sekurang-kurangnya bagi mereka yang akhirnya kehilangan wang mereka.

Sukar untuk kita mengesan jika kita sedang berhadapan dengan satu penipuan. Walau bagaimanapun, apabila anda mencerakinkan skim-skim penipuan tersebut, anda mula melihat ciri-ciri standard yang boleh membantu anda untuk melakukan pemeriksaan sendiri. Berikut adalah perkara-perkara yang perlu anda berikan perhatian:

  • Jaminan pulangan yang tinggi dalam masa yang singkat.
  • Jemputan untuk menyertai kumpulan pelabur eksklusif atau elit.
  • Dakwaan bahawa tawaran datang daripada “orang dalam”.
  • Dakwaan bahawa terdapat teknologi yang merevolusikan segala-galanya dalam masa terdekat.
  • Imej keseluruhan tawaran terlalu indah untuk menjadi kenyataan.

Itu cuma sedikit. Hakikatnya, mungkin terdapat lebih banyak ciri-ciri lain, tetapi akhirnya, semua ciri-ciri lain itu akan berbalik kepada set pembohongan teras yang mudah ini. Inti patinya, seorang penipu akan menggunakan beberapa pembohongan ini untuk melalaikan

hati nurani anda dan membuatkan anda percaya konon-kononnya anda sedang melabur dalam satu usaha niaga yang berpotensi besar.

Ramai yang telah dipedayakan oleh penipuan wang selama berabad-abad lamanya. Salah satu contoh terawal penipuan saham boleh dikesan seawal kurun 1700-an. Cuba anda google “South Sea bubble.” Ia adalah salah satu kes yang paling menonjol, yang kini dikenali sebagai skim penipuan pam dan buang ("pump and dump").

Mula-mula, si penipu akan menaikkan harga saham dengan memberikan maklumat yang palsu tentang syarikat itu, dan kemudian, apabila harganya sudah cukup tinggi, mereka akan melambakkan (dump) saham yang digembar-gemburkan itu ke pasaran. Akibatnya, anda kehilangan wang anda kerana saham tersebut sebenarnya tidak bernilai apabila gembar-gembur itu hilang.

Anda boleh melihat cara ini berfungsi dalam Boiler Room, sebuah drama jenayah yang terbit sekitar akhir dekad 90an. Atau anda boleh melihat kisah Jordan Belfort untuk contoh kejadian sebenar. Sebuah filem juga telah dibuat tentang dirinya. Walau bagaimanapun, pam dan buang sudah tentunya bukan satu-satunya cara untuk memisahkan anda daripada wang anda. Sebenarnya, terdapat banyak cara lain, termasuklah beberapa cara yang paling kerap digunakan:

  • Penipuan nota janji hutang ("promissory notes").
  • Penipuan kumpulan perkaitan ("affinity groups").
  • Penipuan pelaburan binari.
  • Penipuan bayaran pendahuluan.
  • Pelbagai jenis penipuan internet.
  • Seminar pelaburan.

Ya, sesetengah daripadanya juga dianggap sebagai penipuan. Tetapi skim penipuan yang paling popular adalah, tentu sekali, skim piramid.

Skim piramid idea yang genius walaupun ia mungkin tampak sederhana sahaja. Ia merekrut para pelabur yang bilangannya semakin meningkat hari demi hari, setiap pelabur baharu merekrut orang baharu ke dalam usaha niaga tersebut. Pelanggan baharu tersebut mencari pelabur-pelabur lain untuk direkrut, dan seterusnya.

Piramid boleh berkembang selama bertahun-tahun dan bahkan beberapa dekad, tetapi ia menyebabkan kerosakan yang teruk apabila ia runtuh. Dan sudah tiba masanya saya memberikan anda senarai skim piramid yang paling menonjol setakat ini, tetapi ini mungkin suatu yang kontroversi. Kebanyakan usaha niaga seperti piramid digambarkan secara rasmi sebagai pemasaran pelbagai peringkat (MLM). Dan ia adalah strategi perniagaan yang sah. Penentuan status sebagai skim piramid biasanya diputuskan oleh mahkamah.

Oleh itu, walaupun terdapat begitu banyak syarikat yang secara terbuka dirujuk sebagai piramid, untuk menjaga adab, kami tidak akan memanggil mana-mana syarikat pemasaran berbilang peringkat ini sebagai penipuan.

Walau bagaimanapun, apa yang sebenarnya penipuan ialah skim yang kelihatan hampir serupa dengan skim piramid – skim Ponzi. Dinamakan bersempena Charles Ponzi, seorang penipu pada tahun 1920-an, skim ini merekrut pelabur baharu dengan menjanjikan pulangan yang tinggi. Dengan skim ini, pelabur yang awal dibayar dengan dana daripada pelabur yang kemudian. Penipuan itu berlarutan sehingga majoriti pelaburnya memilih untuk menuntut wang mereka dipulangkan kembali. Apabila itu berlaku, skim Ponzi akan hancur berkecai.

Dunia kewangan telah menyaksikan pelbagai kisah penipuan untuk membuat wang. Dalam penulisan ini, anda akan mengetahui tentang lapan penipuan pasaran saham terbesar dunia dan siapa dalang di sebaliknya.

8 penipuan dan skandal pasaran terbesar

1170-pers-1.png

Bernie Madoff

Kami akan mulakan dengan contoh klasik skim Ponzi terbesar yang pernah ada. 

Bernie Madoff, seorang ahli industri kewangan di New York, menggunakan reputasinya untuk merekrut pelabur-pelabur baharu kerana dia menjanjikan mereka pulangan dua digit yang stabil. Walaupun pelabur-pelabur tersebut berfikir yang mereka membeli saham, sebenarnya, Madoff mendepositkan wang mereka dalam akaun banknya.    

Dia menggunakan sebahagian daripada wang itu untuk membayar dana yang dituntut sebagai pulangan yang dijanjikan. Ini berlangsung selama lebih daripada satu dekad. Sekali lagi, ia mungkin disebabkan oleh imej awam Madoff sebagai ahli perniagaan yang dihormati dan boleh dipercayai. Lagipun, beliau adalah orang kuat di sebalik NASDAQ.

Tetapi, lambat laun, semuanya mesti berakhir. Penipuan Bernie Madoff telah lesap selepas krisis ekonomi tahun 2008 yang masyhur itu. Pada masa itulah kebanyakan pelanggan Madoff mahu mengeluarkan wang mereka. Dan seperti yang anda tahu, tidak ada skim Ponzi yang boleh bertahan dengan perkara ini.

Apabila penipuan itu didedahkan, Madoff menghadapi pertuduhan yang berat. Dan keputusannya ialah dia akan menghabiskan sisa hidupnya di dalam penjara. Hukuman beliau ialah 150 tahun. Bernard Lawrence Madoff meninggal dunia dalam penjara pada 14 April 2021. Yang menyedihkan, itu bukan satu-satunya kematian yang dikaitkan dengan penipuan ini.

Dua tahun selepas Madoff didedahkan, salah seorang anak lelaki dan rakan kongsi perniagaannya membunuh diri, sama seperti nasib beberapa orang pelabur beliau.

Berapa banyak yang dicuri oleh Bernie Madoff? Angka rasmi menyatakan 65 bilion dolar, dan itu angka yang gila. Berapa lama skim tersebut wujud? Itu persoalan yang rumit. Madoff sendiri memberi keterangan bahawa dia memulakan skim tersebut pada awal 90-an.

Frank DiPascali, seorang pengurus akaun, yang telah bekerja dengan Madoff sejak 1975, berkata bahawa penipuan itu telah lama berlaku. Tetapi dokumen yang ditemui semasa siasatan menunjukkan bahawa Madoff telah melakukan penipuan itu sejak awal 1960-an. Tambahkan berjuta-juta laporan perdagangan palsu dan anda akan mendapat skim Ponzi terbesar di dunia.

1170-pers-2.png

Jordan Belfort

Anda mungkin mendapat tahu nama ini daripada filem arahan Martin Scorcese, “The Wolf of Wall Street”. Walau bagaimanapun, jika anda menganggap filem itu hanyalah satu fiksyen, anda tersilap. Jordan Belfort ialah orang yang benar-benar wujud, dan kebanyakan perkara yang anda tonton dalam filem itu adalah benar.

Belfort menggunakan manipulasi pasaran untuk penipuan beliau yang berlangsung dengan lama sekali, skim penipuan yang sering diistilahkan sebagai skim pam dan buang. Beliau bekerjasama dengan sekumpulan broker yang bercita-cita tinggi untuk menubuhkan Stratton Oakmont, Inc.. Syarikat broker "over-the-counter" ini kemudiannya menjadi terkenal beberapa tahun kemudian dengan penahanan Belfort dan beberapa rakan kongsinya.

Sebenarnya, skim ini bukanlah sesuatu yang baru – Belfort dan brokernya akan menaikkan harga saham dan kemudiannya mereka akan mengeluarkan wang, yang menyebabkan nilai saham itu menjunam secara drastik. Ratusan broker yang bercita-cita tinggi bekerja sebagai pasukan serigala Belfort yang melakukan panggilan kepada mangsa yang tidak menyedari apa yang berlaku dan memujuk mereka untuk membeli saham yang tidak bernilai.

Kisah tersebut berakhir pada tahun 1998 dengan jumlah kerugian sebanyak $200 juta. Belfort telah didakwa atas kesalahan penipuan sekuriti dan pengubahan wang haram, memahat nama beliau selamanya dalam senarai jenayah The Wall Street.

1170-pers-3.png

Michael de Guzman

Ini satu lagi penipuan terkenal yang diabadikan dalam sebuah filem. Tetapi sebelum kita menyebut tentang filem yang dibintangi oleh Matthew McConaughey itu sendiri, mari kita bercerita tentang kisah sebenar disebaliknya.

Tahun 1993. Michael de Guzman, seorang pekerja Bre-X Minerals, mendakwa bahawa terdapat emas di hutan Borneo. Sejak itu, maka semacam bermulalah satu kerubut emas, yang melibatkan saham Bre-X Mineral meroket kepada nilai $6 bilion!

Semua ini berlaku antara 1993 dan 1996 sehinggakan Michael de Guzman dengan segera menghasilkan sampel emas palsu dari wilayah Borneo.

Penipuan Guzman runtuh selepas kerajaan Indonesia mencurigainya. Akibatnya, negara itu telah membatalkan 45% kawalan Bre-X ke atas lombong emas. Freeport McMoran, sebuah syarikat perlombongan Amerika, melakukan banyak penggerudian tetapi tidak berjaya – tiada satu keping emas pun yang ditemui. Tidak ada pengakhiran yang menggembirakan untuk Bre-X kerana nilainya mencecah titik terendah sebelum ada sesiapapun yang tahu tentang perkara itu.

Beberapa perkara yang telah berlaku dijadikan dalam filem sebuah filem oleh Stephen Gaghan. Dibintangi oleh Matthew McConaughey, drama jenayah 2016 ini menceritakan kisah yang berkisar seputar skandal Bre-X.

1170-pers-4.png

Joseph Nacchio

Kisah ini adalah salah satu penipuan perdagangan orang dalam yang paling terkenal yang mengakibatkan kerugian mengagumkan sebanyak $3 bilion.

Apakah itu perdagangan orang dalam (insider trading)? Secara ringkasnya, ia adalah satu skim penipuan untuk menjual saham yang telah diketahui pasti akan merudum tidak lama lagi. Untuk melakukannya, seseorang itu mesti mengetahui keadaan pasaran atau proses-proses dalam syarikat tertentu, sebab itulah ia disebut perdagangan orang dalam.

Joseph Nacchio ialah salah seorang pedagang saham orang dalam yang terhebat di dunia. Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Qwest Communications International, Nacchio memujuk Wall Street untuk membeli saham Qwest dengan mengatakan bahawa syarikat itu akan melakukan lonjakan yang besar. Walau bagaimanapun, realitinya, Naccio tahu yang semua itu tidak benar.

Disabitkan kesalahan terhadap 19 daripada 42 pertuduhan perdagangan orang dalam, Nacchio kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan juga diperintahkan untuk memulangkan $52 juta yang diperolehinya dalam perdagangan saham haram.

1170-pers-5.png

Nick Leeson

Mahu filem lagi? Ini ada satu lagi filem yang dipanggil “Rogue Trader”, dan ia juga adalah berdasarkan kisah benar, kisah Nicholas William Leeson, seorang bekas pedagang derivatif dari England.

Dilakonkan oleh Ewan McGregor dalam sebuah drama tahun 1999, pekerja sebenar Barings Bank, Nick Leeson menggunakan sesuatu yang dipanggil akaun ralat untuk menutup urusniaga perdagangan yang dibuka oleh beliau dan beberapa rakan sekerja beliau yang merugikan. Semuanya bermula apabila Leeson terpaksa menutup satu rentetan kesilapan yang dilakukan oleh rakan-rakan sekerjanya yang kerap berpesta. Amalan itu akhirnya membawa kepada kerugian $1.7 juta.

Seperti yang Leeson nyatakan kemudian, dia hanya mahu mengekalkan pekerjaannya, jadi dia menggunakan akaun ralat tersebut untuk menyembunyikan kesilapan yang besar. Selain itu, Leeson menegaskan bahawa dia tidak pernah menggunakan skim ini untuk kepentingan peribadi. Walau bagaimanapun, pada tahun 1996, pelbagai akaun bank dengan jumlah keseluruhan $35 juta telah dikaitkan dengan beliau.

Selepas satu rentetan kesilapan besar Leeson pada tahun 1995, Barings Bank kerugian £827 juta dan diisytiharkan muflis tidak lama kemudian. Leeson cuba untuk melarikan diri dari undang-undang tetapi telah ditangkap dan diekstradisi ke Singapura.

Dihukum penjara enam tahun setengah, Nick Leeson dibebaskan pada tahun 1999 kerana tingkah laku yang baik dan keadaan kesihatannya – dia disahkan menghidap kanser kolon. Bagaimanapun, Leeson bernasib baik kerana telah sembuh daripada penyakit itu.

Sehingga hari ini, Nick Leeson masih lagi berdagang. Tapi sekarang beliau menggunakan duitnya sendiri.

1170-pers-6.png

Sam Bankman-Fried

Kisah Sam Bankman-Fried adalah yang terkini dan juga paling terkemuka. Berkaitan dengan skandal FTX, seperti mana yang dipercayai oleh ramai orang, ia boleh memberikan kesan jangka panjang ke atas seluruh industri kripto. 

FTX Trading Ltd. dahulunya adalah sebuah bursa kripto dan dana lindung nilai yang diasaskan oleh Sam Bankman-Fried dan rakan kongsinya Gary Wang pada tahun 2019. Pada tahun 2021, syarikat itu berada di kemuncaknya dengan lebih daripada satu juta pengguna, menjadikan ia yang ketiga terbesar dalam senarai bursa matawang kripto.

Masalah bermula pada tahun 2022. Pendedahan telah dibuat bahawa Alameda Research, sebuah lagi syarikat yang diasaskan dan dikendalikan oleh Bankman-Fried, memegang posisi yang besar sebanyak $5 bilion dalam token natif FTX – FTT. Siasatan lanjut menunjukkan bahawa asas pelaburan Alameda juga berbentuk FTT, suatu yang aneh dan mencurigakan kerana ia bukan matawang fiat atau mana-mana kripto lain. Jadi pada asasnya, firma itu beroperasi sebagai penggerak pasaran FTX, mengepam nilai FTT melalui pembelian secara besar-besaran.

Maklumat ini menimbulkan kebimbangan di kalangan pelabur FTX, yang kemudiannya membawa kepada permohonan pengeluaran besar-besaran berjumlah $6 bilion. Pada mulanya, FTX mengumumkan krisis kecairan. Kemudian, syarikat itu mendakwa bahawa FTT bernilai $477 juta telah dicuri daripadanya.

Peristiwa malang itu menyebabkan FTX menjadi muflis, Sam Bankman-Fried ditangkap, dan seluruh industri kripto menjadi bimbang tentang masa depan industri tersebut. Bankman-Fried akan dibicarakan pada bulan Oktober 2023.

1170-pers-7.png

Sergei Mavrodi

Kebanyakan penipuan kewangan dan kisah-kisah penipuan datang dari Barat, iaitu bahagian yang terkaya di dunia di mana kota-kota utama kewangan berada. Walau bagaimanapun, sejarah memberikan kita satu contoh yang jelas lagi nyata tentang penipuan kewangan besar dari negara yang anda paling tidak jangkakan dalam konteks ini – Rusia.

Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, negara tersebut berada dalam kegawatan politik dan ekonomi. Peristiwa rampasan kuasa 1991 dan kejadian-kejadian drastik yang menyusul mencetus suasana suram yang memberi kesan jangka panjang terhadap ekonomi neoliberal yang memusnahkan sisa-sisa peninggalan legasi sosialis.

Realiti kawan makan kawan di Rusia pada tahun 90-an melahirkan ramai penipu yang menjanjikan wang mudah kepada mereka yang terdesak. Salah seorang yang paling terkenal ialah Sergei Mavrodi, orang di sebalik skim piramid kewangan terbesar di Eropah Timur, MMM.

MMM bermula pada tahun 1989 tetapi mencapai kemuncaknya pada awal tahun 1994 apabila Mavrodi melancarkan skim Ponzinya. Dengan pengiklanan TV yang agresif, MMM menarik perhatian rakyat biasa Rusia dengan menjanjikan keuntungan yang lumayan. Seperti yang dikatakan oleh salah seorang watak komersial MMM, “Saya bukan seorang 'freeloader', saya seorang rakan kongsi ”, ideanya di sini ialah sesiapa yang melabur dalam MMM dijanjikan pulangan gila sebanyak 3000% setahun.

Seperti yang anda boleh jangkakan, hanya beberapa orang yang bertuah sahaja yang dapat melihat angka sedemikian. Masalah bermula lewat tahun yang sama apabila beribu-ribu pelabur MMM memprotes syarikat Mavrodi. Walaupun penipuan itu dibuat secara terang-terangan, tiada undang-undang yang mengawal skim Ponzi di Persekutuan Rusia pada ketika itu. Jadi tidak ada bantuan yang datang.

Walau bagaimanapun, Sergei Mavrodi telah dituduh mengelak cukai. Ini akhirnya menyebabkan Mavrodi melarikan diri dari Rusia, dan MMM diisytiharkan muflis pada tahun 1997, meninggalkan, seperti yang dinyatakan oleh beberapa sumber, hampir 10 juta orang dengan tangan kosong. Menurut laporan, lima puluh mangsa MMM telah membunuh diri.

1170-pers-8.png

Elizabeth Holmes

Pernahkah anda mendengarkan tentang Theranos? Jika tidak, pasti anda akan merasakan bahawa kisah ini menghiburkan. Sudah ada projek pembikinan filem untuknya.

Perkenalkan Elizabeth Holmes, seorang wanita yang muda dan cantik, bekas usahawan bioteknologi, dan seorang yang diisytiharkan secara rasmi sebagai penipu. Kerjaya bercanggah Holmes sebagai seorang usahawan bermula pada 2003 apabila Elizabeth yang berusia 19 tahun ketika itu mengasaskan Theranos, sebuah syarikat permulaan penjagaan kesihatan yang inovatif. Idea beliau adalah untuk merintis kaedah baru ujian darah dengan mesin ujian darah semua dalam satu yang baru dicipta.

Sebelum itu, sudahkah kami nyatakan bahawa Holmes telah berhenti dari Stanford demi untuk menjadi seorang usahawan penjagaan kesihatan? Ya, itulah yang beliau lakukan. Adakah fakta ini menjejaskan ciptaan Holmes? Mungkin juga. Atau mungkin ia hanya sentuhan kecil pada potret Liz. Apa pun, mari kita teruskan.

Semasa Elizabeth membina empayar kecilnya sendiri, dia menegaskan bahawa ideanya akan menjadi pengubah permainan ("game-changer"). Liz menggunakan pengaruh keluarganya untuk mempromosikan perniagaannya, mendapatkan pelabur dan mendapatkan sokongan daripada golongan yang berpengaruh di Amerika. Antara mereka yang telah membantu beliau dalam pelbagai cara termasuklah tokoh seperti Henry Kissinger dan presiden Amerika Syarikat sekarang, Joe Biden.

Tetapi keadaan boleh menjadi lebih baik dari segi pengeluaran. Seperti yang didedahkan kemudian, Theranos mengamalkan dasar buruh yang mengerikan, sains yang boleh dipertikaikan, dan teknik komersial yang diragui. Antara masalah terbesar yang dihadapi Theranos ialah pemecatan yang tidak adil, tarikh akhir yang tidak realistik untuk pasukan pengeluaran dan kecurian secara langsung, kerana beberapa bahagian mesin Theranos telah “dipinjam” daripada peralatan perubatan keluaran Siemens.

Dipendekkan cerita, mesin ujian darah Theranos sebenarnya satu inovasi yang gagal dan hampir tidak ada gunanya dalam bidang perubatan. Pada tahun 2018, telah diumumkan bahawa syarikat tersebut akan menghentikan operasi kerana tidak dapat mencari pembeli. Seperti yang anda mungkin jangkakan, mesej itu satu kejutan yang tidak menyenangkan untuk bagi pelabur-pelabur Theranos.

Pada tahun 2022, Liz Holmes disabitkan kesalahan menipu pelabur dan dibebaskan daripada tuduhan menipu pesakit. Oleh itu, kisah Theranos ialah contoh terbaik dan terkini bagi skim pelaburan penipuan berdasarkan tuntutan inovasi teknologi yang menjanjikan para pelabur pulangan yang lumayan dengan hasil sifar yang malang dan kerugian besar.

Kesimpulan

Statistik menunjukkan bahawa kira-kira 30 juta orang menjadi mangsa penipuan kewangan setiap tahun. Jumlah ini memang gila! Kisah yang anda pelajari hari ini hanyalah sebahagian kecil daripada apa yang berlaku dalam dunia kewangan hari ini. Terdapat banyak penipu di luar sana yang ingin membantu anda untuk membuang wang anda. Dan jika anda memerlukan satu nasihat untuk mengelakkan wang anda daripada bahaya, ini salah satu daripadanya: jangan termakan janji tentang wang mudah, kerana apabila anda melakukannya, perkara buruk mula berlaku.

Apabila mencari pilihan pelaburan, cubalah syarikat broker yang dihormati dengan pengalaman bertahun-tahun, syarat-syarat yang jelas dan reputasi yang kukuh. FBS salah satu syarikat yang sedemikian, yang menyediakan kemudahan untuk berdagang, termasuk perisian terkini, pendidikan percuma dan syarat-syarat yang menguntungkan.

  • 997

Notis pengumpulan data

FBS menyimpan rekod data anda untuk mengoperasikan laman web ini. Dengan menekan butang "Terima", anda menyetujui Polisi Privasi kami.

Callback

Pengurus akan menghubungi anda dalam amsa terdekat

Tukar nombor

Permohonan anda telah diterima

Pengurus akan menghubungi anda dalam amsa terdekat

Permohonan panggil balik seterusnya untuk nombor telefon ini
boleh dilakukan dalam dalam

Jika anda mempunyai isu yang perlu disegerakan, sila hubungi kami menerusi
Live Chat

Masalah dalaman. Sila cuba sebentar lagi

Jangan bazir masa anda – pantau bagaimana NFP mempengaruhi dolar AS dan kaut keuntungan!

Anda sedang menggunakan pelayar web yang versinya sudah lapuk.

Kemaskini kepada versi terkini atau cuba pelayar lain untuk penggunaan yang lebih selamat, selesa dan produktif.

Safari Chrome Firefox Opera